Sidang Meja Bulat : Pendidikan, Pembangunan Bakat Dan Kerjaya

SEREMBAN, 14 Februari 2024 - Yayasan Negeri Sembilan (YNS) melalui  Unit Pembangunan Insan (UPI) telah menganjurkan siri Sidang Meja Bulat (RTD) yang bertujuan untuk mengupas isu-isu utama dalam pendidikan, bakat, dan kerjaya di Negeri Sembilan. Sidang tersebut bertujuan untuk mengidentifikasi punca masalah dan mencari solusi praktikal bagi meningkatkan sistem pendidikan di negeri ini.

Antara isu-isu yang diberikan tumpuan adalah pembangunan bakat, kerjaya, minat terhadap technical and vocational education and training (TVET), science, technology, engineering, and mathematics (STEM), dan keciciran pelajar. UPI berusaha untuk mengumpulkan para pakar dan pemegang taruh berkaitan untuk membina jaringan kepintaran dan kerjasama bersama YNS antaranya adalah Kerajaan Negeri Sembilan melalui pejabat Exco Kerajaan Negeri,  Unit perancang Ekonomi Negeri Sembilan (UPEN),  Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kolej Yayasan Negeri Sembilan, Negeri Sembilan Skills Development Centre (NSSDC), Jabatan Penjara Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Majlis Belia Negeri Sembilan, Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan Kebangsaan (PERMANIS), Dewan Waghih Siswa (DWS) dan pelbagai persatuan belia yang terlibat. Selain itu, objektif sidang juga termasuk mencari idea-idea baharu dalam bidang pendidikan serta mewujudkan kumpulan pakar sebagai pemegang taruh perancangan.

Diharapkan melalui inisiatif ini, solusi yang praktikal dan efektif dapat dicari dan dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan memperkukuhkan bakat serta kerjaya di kalangan penduduk Negeri Sembilan. Semoga penganjuran Sidang Meja Bulat ini berjaya menjadi landasan penting bagi pembangunan insan di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya.

 
Melalui penganjuran program ini, maklumat berkenaan bantuan pendidikan dan inisiatif kerajaan Negeri Sembilan dapat disampaikan secara langsung kepada penerima bantuan khususnya mahasiswa anak Negeri Sembilan sendiri.