Yayasan Negeri Sembilan Sumbangkan Rm 100,000.00 Kepada UiTM Cawangan Negeri Sembilan

REMBAU, 27 Februari 2024 - Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Negeri Sembilan dengan jayanya telah melangsungkan majlis perasmian Karnival Sukan Mahasiswa UiTM KE-29 (KARiSMA) bertempat di Dewan Biduanda, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.

Majlis perasmian ini dihadiri seramai hampir 1000 orang atlet yang terdiri daripada 14 kontinjen Negeri mewakili UiTM kampus masing – masing. KARiSMA 2024 dijangka menjadi platform yang berharga untuk memupuk semangat kesukanan dan kecergasan fizikal di kalangan mahasiswa UiTM, sambil memperkukuhkan lagi hubungan antara universiti dan komuniti setempat.

Dalam majlis tersebut juga, YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Bin Harun selaku Pengerusi Yayasan Negeri Sembilan diiringi oleh Dato' Muhammad Nazri Bin Kasim, pengarah Yayasan Negeri Sembilan telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM 100,000.00 kepada UiTM Cawangan Negeri Sembilan.

Sumbangan sebanyak RM 100,000.00 ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pelbagai program yang dijalankan oleh UiTM cawangan Negeri Sembilan sepanjang tahun 2024. Yayasan Negeri Sembilan berharap sumbangan ini dapat membantu memperluaskan lagi peluang-peluang pembangunan akademik dan sosial di kalangan mahasiswa.